Total Pageviews

Wednesday, November 11, 2009

Membuat Nota

Nota ialah catatan-catatan yang kita ambil dan kita sediakan daripada pelbagai sumber untuk tujuan ulang kaji . Sumber-sumber itu boleh diperoleh daripada buku teks , buku rujukan , perbincangan berkumpulan , pengajaran guru ataupun ceramah . Dari situ , kita mengambil isi-isi penting untuk diingat atau difahami .

Adakah kamu menyediakan nota sendiri sejak awal lagi ? Bagaimana bentuk nota kamu ? Banyak sebab mengapa kita mesti mempunyai nota - yang kita tulis sendiri , kita sediakan sendiri , kita susun sendiri , dan kitalah pengarangnya . Membuat nota sendiri perlu dilakukan secara berterusan setiap hari , tidak semestinya menjelang peperiksaan saja .

Cuba kamu ikut contoh Fazley , seorang penyanyi yang memperoleh 8A1 dalam SPM . Dengan keputusan yang cemerlang itu telah melayakkannya melanjutkan pelajaran ke Victoria University , Welllington , New Zealand dalam bidang Perdagangan dan Pentadbiran . Tentu kamu tertanya-tanya , bagaimana dia boleh skor A dalam setiap mata pelajaran yang telah diambilnya . Fazley mulaa membuat nota kecil sejak di Tingkatan Empat lagi . Jika kamu mahu mengikuti jejak langkahnya , ayuh ... jangan bertangguh ... mulakan dari sekarang . Mari ikut teknik FazlEY.

LANGKAH PERTAMA
Fazley menggunakan 12 batang pen berlainan warna termasuk beberapa batang highlighter sebagai persediaan membuat nota kecil . Sebenarnya , kamu boleh menggunakan kurang atau lebih daripada jumlah pen itu . Terpulang kepada kemampuan dan keselesaan kamu .

LANGKAH KEDUA
Mula membaca buku teks dan buku rujukan . Sambil membaca , kata kunci atau kata penting diwarnakan . Pada masa yang sama , fahamkan betul-betul maklumat yang dibaca . Bacalah mengikut bab atau topik . Tidak perlu baca banyak perkara . Yang penting kamu faham , kemudian baru buat nota .

LANGKAH KETIGA
Sehelai kertas bersaiz A4 dilipat kepada empat bahagian atau kolum

LANGKAH KEEMPAT
Mula menulis nota mengikut kolum . Setiap kolum boleh dibahagikan kepada dua bahagian (subtopik) untuk satu bab ataupun kamu boleh jadikan keempat-empat kolum itu untuk satu bab sahaja . Di sebelah belakang kertas itu pula satu bab yang lain . Gunakan pen yang berlainan warna . Nota dicatat seringkas-ringkasnya agar dapat meningkatkan tahap ingatan .

LANGKAH KELIMA
Setelah kata kunci ditulis , gunakan highlighter untuk tajuk dan perkara-perkara yang penting . Pastikan kamu gunakan warna yang selari untuk semua nota supaya fikiran kamu tidak keliru . Misalnya , jika warna kuning untuk isi-isi penting , maka gunakan warna yang sama untuk subjek lain pula . Contohnya , tarikh penting - warna merah , nama tokoh - warna biru .

LANGKAH KEENAM
Setelah nota disiap ditulis , kamu boleh menghafalnya . Jangan lupa untuk meninggalkan sedikit ruang untuk menambah isi penting apabila guru mula mengajar .

LANGKAH KETUJUH
Ambil sampul surat panjang . Tuliskan mata pelajaran . Kemudian , masukkan nota itu mengikut mata pelajaran . Bawalah nota itu ke mana-mana . Jika ada masa terluang , silalah baca .

Untuk subjek yang melibatkan pengiraan seperti Matematik , Fazley menasihatkan pelajar agar menyediakan sebuah buku khas untuk membuat latihan pengiraan . Latihan perlu dibuat selalu agar pelajar biasa dengan corak soalan . Fazley berpendapat bahawa subjek Matematik memerlukan pelajar merangka jalan penyelesaian yang betul secara sistematik . Jalan penyelesaian yang betul akan menemukan jawapan yang tepat dan mendapat markah yang baik

Menurut Fazley , dia akan membawa nota tersebut ke mana-mana sahaja . Misalnya , ketika menunggu bas , dia tidak perlu membawa buku tebal , tetapi hanya membaca nota kecil itu . Fazley turut mengingatkan para pelajar agar membawa nota yang dibuat tanpa menunggu hari peperiksaan .

Kaedah di atas adalah berdasarkan pengalaman Fazley sendiri . Sebenarnya , ada banyak lagi teknik belajar mengikut keselesaan kamu . Belajar awal dan membuat nota pada peringkat awal dapat menimbulkan semangat yakin pada kebolehan diri dan kamu akan merasakan bahawa diri kamu telah cukup bersedia untuk menghadapi peperiksaan ketika pelajar lain baru hendak membuat persediaan . Dengan cara ini kamu mempunyai stamina untuk mengulang kaji semua mata pelajaran yang telah kamu buat mengikut kesesuaian kamu .

No comments:

Search This Blog

World time