Total Pageviews

Tuesday, July 7, 2009

Tips CEMERLANG 1

Imagination is power than knowledge.
Ini dipetik dari kata-kata Einstein. Memang benar, imaginasi atau impian itu lebih berkuasa dari ilmu pengetahuan. Sebab, impian akan mendorong tindakan. Impian mencetus kegigihan. Impian yang sungguh-sungguh akan mendorong diri untuk teruskan perjuangan ke arah kejayaan.

Sedarkah anda begitu ramai orang gagal dalam hidup mereka hari ini adalah mereka yang sebenarnya tahu tentang faktor atau penyebab kejayaan. Pulang nanti, sekiranya anda bertemu dengan seorang tukang kebun, cuba tanya dia, "Pakcik..pakcik., pakcik tahu tak kalau waktu sekolah dulu pakcik belajar rajin-rajin, tidak buang masa, tekun.... hari ini pakcik mungkin dah jadi doktor". Apa agaknya kata pakcik itu?? "Tahu..pakcik tahuuu". Lihat seorang yang tahu apa faktor yang boleh merubah masa depan kini berpuashati hanya sebagai tukang kebun??? Inilah masalah anda. Anda tahu apa yang perlu dilakukan untuk berjaya tetapi anda tidak punya matlamat. Tidak punya impian yang cukup kuat untuk melakukan sesuatu tindakan kearah kecemerlangan diri.

Selepas ini, tenangkan fikiran anda sebentar. Fikirkan soalan ini.

* Apa yang aku mahukan dalam hidup ini?
* Bila aku mahukannya setahun, dua tahun, lima tahun?
* Kenapa aku mahukannya?
* Bagaimana aku boleh mendapatkannya?

Sekiranya anda mampu memberikan jawapan yang tepat dan jelas terhadap soalan-soalan di atas, syabas!!!... anda sudah punya matlamat.

Contoh matlamat:

Apa?
Aku mahu capai 8A dalam PMR.
Bila?
Tahun 1999
Kenapa?
Untuk buktikan pada rakan-rakan yang aku ada kebolehan.
Untuk memenuhi hasrat ibu bapa.
Bagaimana?
Aku mesti belajar sekurang-kurangnya 3 jam sehari.
Aku mesti melatih 20 soalan setiap hari.
Kerja sekolah mesti siap.
TV dan sembang-sembang mesti dikurangkan.
Pencapaian ujian bulan mesti memberangsangkan.

Cakap tidak serupa bikin.

Inilah kelemahan anda. Anda begitu bersungguh-sungguh memperkatakan tentang matlamat anda tapi apa pula tindakanPE02485_.WMF (6904 bytes) anda? Pastikan setiap kata dikota. Yang membezakan seorang doktor dengan seorang budak kilang ialah tindakan yang diambil sewaktu persekolahan mereka. Tanyakan semua rakan-rakan anda, "besar nanti nak jadi apa?". Saya pasti tidak seorang pun akan memilih untuk menjadi budak kilang. Semua nak jadi doktor, jurutera, peguam. Wah! hebat sungguh cita-cita mereka tetapi tindakan kosong!!!. Oleh itu untuk merealisasikan matlamat di atas tadi, pastikan susuli setiap perancangan dengan tindakan...tindakan...tindakan...

Dalam artikel Bahagian 1 sebelum ini, saya telah membincangkan apa yang dikatakan matlamat dan bagaimana untuk membentuknya. Kali ini mari kita lihat pula kenapa matlamat itu perlu. Kajian di institusi pengajian tinggi menunjukkan 80% pelajar tidak bermatlamat dan ini adalah punca utama pelajar melayu gagal bersaing. Menyedihkan tetapi itulah hakikatnya.

Matlamat memudahkan perancangan. Sekiranya anda ada matlamat, maknanya anda telahpun menetapkan apa yang mahu dicapai dalam suatu tempoh yang tertentu. Ini pastinya memudahkan lagi untuk anda merancang tugas anda setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan.

Contoh:
Katakan anda mahu menghabiskan ulangkaji mata pelajaran Sains sebulan sebelum tibanya peperiksaan PMR. Katakanlah, pelajaran Sains itu mempunyai 24 tajuk dan anda kini mempunyai 6 bulan sahaja untuk menghabiskannya (iaitu sehingga sebulan sebelum PMR. Ini bermakna anda perlu menghabiskan 4 tajuk Sains setiap bulan, atau lebih kurang 1 tajuk setiap minggu. Sekiranya anda merancang untuk belajar Sains sebanyak 4 kali seminggu, gunakan 3 sessi yang pertama untuk menghabiskan satu-satu tajuk dan gunakan sessi ke-4 untuk mengimbas semula tajuk tersebut dan menjawab soalan-soalan yang berkaitan dengannya.

Matlamat meningkatkan komitmen diri. Secara tidak langsung apabila anda punya matlamat maka anda merasakan suatu komitmen perlu diambil untuk memenuhinya. Sebab sekiranya anda terlalai untuk mengikut setiap perancangan yang telah dijadualkan bermakna anda menggadai masa depan anda sendiri. Mata pelajaran Sains seperti di atas tidak mungkin dapat dihabiskan hanya sekiranya anda meletakkan komitmen untuk mengikut jadual harian anda sendiri.

Ingatlah, manusia yang berjaya ialah manusia yang mempunyai komitmen yang tinggi terhadap senarai tugas atau perancangan hariannya.

Matlamat membantu anda membuat keputusan. Dalam kehidupan seharian anda pasti menyedari betapa sukarnya untuk mendisiplinkan diri mengikut jadual harian anda. Malah mereka yang mampu mengikut jadual harian jumlahnya terlalu kecil, hanya sekitar 5% sahaja. Yang lain, sama ada langsung tidak mempunyai jadual harian atau ada jadual tetapi sekadar hiasan dinding dan tidak pernah diikuti. Kenapa ini berlaku? Jawapannya ialan sebab kita bukannya robot dan bukannya mesin yang boleh dijadualkan untuk berfungsi mengikut masa-masa yang ditetapkan setiap hari. Malah saya sendiri tidak yakin bahawa jadual adalah penyebab kejayaan seseorang.
Sebagai manusia kita tertakluk kepada begitu banyak faktor-faktor luar jangka, misalnya anda mahu belajar tetapi mak minta jaga adik, ayah minta pergi kedai. Sebentar lagi ialah waktu untuk buat kerja sekolah tapi di TV pula ada perlawanan akhir bola sepak. Semuanya ini antara penyebab kenapa anda sukar mengikut jadual belajar anda. Tetapi dengan adanya matlamat anda pada bila-bila masa boleh mengubah perancangan harian anda asalkan ia tidak meninggalkan kesan atas perancangan jangka panjang anda. Anda boleh tidak belajar mengikut masa yang ditetapkan tetapi anda perlu ganti semula dan belajar pada waktu yang lain. Yang penting belajar tetap belajar. Yang penting setiap tajuk perlu dihabiskan dalam masa satu minggu seperti perancangan asalnya. Be flexible!!

Matlamat membantu anda mendapatkan pertolongan.
Apabila anda mempunyai matlamat anda mula mengatur perancangan. Apabila anda bertindak melengkapkan perancangan, anda mula menyedari dan mengenali kelemahan-kelemahan yang ada pada diri anda. Ini memudahkan anda mendapatkan pertolongan. Anda mungkin perlu berjumpa guru setelah mengetahui ada bahagian-bahagian tertentu dalam sesuatu mata pelajaran yang tidak anda fahami. Anda mungkin bertemu rakan-rakan dan berbincang dengan mereka. Ingat tidak ada rakan yang mahu membantu anda disaat-saat akhir kerana mereka sendiri sibuk menelaah pelajaran untuk menghadapi peperiksaan.

Matlamat pengukur kejayaan. Matlamat tidak akan tercapai dengan angan-angan atau impian kosong. Ia perlu disusuli dengan tindakan. Kejayaan besar yang diimpikan esok hari ialah himpunan kejayaan-kejayaan kecil yang diraih setiap hari. Apakah kayu pengukurnya untuk memastikan yang setiap hari anda berjaya? Bagaimana anda tahu bahawa anda telah berjaya? Pengukur kepada kejayaan ialah matlamat yang telah dirancang. Sekiranya anda telah melakukan tindakan dan menyelesaikan tugas seperti yang dirancang maka anda dikatakan sebagai berjaya. Hari demi hari tanpa anda sedari anda mendaki puncak kejayaan yang lebih besar dan lebih bermakna. Jadi pastikan sekarang bahawa matlamat anda tidak terlalu kecil sehingga ia tidak bermakna, dan tidak pula terlalu besar hinggakan anda rasakan mustahil untuk mencapainya. Tetapkan satu matlamat yang anda begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk merealisasikannya.


Lebih kurang 30 tahun yang lalu, iaitu 1974, masyarakat melayu telah gempar dengan lahirnya seorang anak melayu yang telah mampu membaca akhbar pada usia tiga tahun. Hampir kesemua media membuat liputan. Hari ini, perkara sebegini bukanlah sesuatu yang mengkagumkan. Dengan adanya pelbagai kemudahan dan teknologi multimedia, ramai anak-anak yang boleh membaca pada usia sebegini. Tetapi pada 30 tahun yang lalu, diawal 70an pastilah kebolehan seperti ini dikira sebagai menakjubkan. Lebih-lebih lagi anak melayu ini hanya anak orang kampung dan tinggal di luar bandar. Prof. Diraja Ungku Aziz pernah membawa anak ini balik ke tempatnya untuk diberikan ujian IQ. Pengarah Filem Dato’ Jins Shamsudin pula menjadikannya pelakun kecil. Begitulah hebatnya anak yang bernama Mohd. Sohkeri Hadapi Aziz ini. Melihat kepada kebolehan dan kehebatan anak maka tidak hairanlah kalau hari ini beliau menjadi doktor atau pensyarah muda.

Tanggal 22 November 1997 masyarakat melayu sekali lagi digemparkan. Kali ini oleh peristiwa seorang anak muda yang bekerja sebagai pembuat roti canai telah didakwa kerana memiliki enam paket kecil ganja. Beliau telah didakwa dibawah Seksyen Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 1983) dan dijatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan.
Apa kaitannya antara dua cerita yang dinyatakan di sini? Kaitannya ialah inilah orangnya yang menjadi tajuk perbualan 30 tahun yang silam. Inilah dia Mohd. Sohkeri yang pernah dibanggakan dulunya. Beliau jauh sekali dari dikatakan berjaya. Malah apa yang beliau lakukan hari ini langsung tidak menggambarkan kebolehan sewaktu kecil beliau. Rendahkah IQ lelaki ini? Tidak sama sekali. Tidak berkebolehankah lelaki ini? Jauh sama sekali. Silapnya ialah kerana ia tidak pernah terdedah kepada ilmu kecemerlangan diri dan pembentukan sikap pula tidak menguntungkan diri serta masa depannya.

Pastinya lebih ramai lagi.
Saya yakin, kalau perkara seperti ini boleh berlaku kepada seorang individu, ia juga telah berlaku, sedang berlaku dan akan terus berlaku kepada ramai lagi manusia lain. Berapa ramai lagi agaknya yang senasib beliau. Kita hanya mendengar cerita Mohd. Sohkeri. Bagaimana pula dengan begitu ramai yang mungkin waktu kecilnya cemerlang kini tidak mampu meneruskan kecemerlangan ini. Saya sendiri telah menemui begitu ramai pelajar yang mendapat 5A dalam UPSR, atau 8A dalam PMR, akhirnya kecundang dalam SPM. Persoalannya adakah mereka yang gagal dalam kehidupan hari ini selayaknya gagal? Atau mereka tidak tahu yang sebenarnya dalam diri mereka ada sebutir permata yang tinggi nilainya dan belum digilap. Inilah yang dikatakan sikap. Tidak ada ertinya IQ yang tinggi serta kebolehan yang luarbiasa tetapi malas berusaha, tangguh kerja, main-main dan ambil mudah. Mereka ini berpenyakit tetapi tidak menyedarinya. Kalau AIDS dan JE boleh membunuh diri, penyakit sikap ini pula boleh membunuh harapan dan masa depan.

Bagaimana sikap terbentuk?
Sikap adalah sesuatu yang dipelajari melalui pengamatan, pendengaran dan pengalaman. Dengan kata lain, sikap adalah tindakan dan tingkahlaku diri berlandaskan cara fikir seseorang individu. Dua orang yang mempunyai cara fikir yang berbeza akan bertindakbalas secara berbeza juga terhadap sesuatu peristiwa atau persekitaran. Cara fikir mengubah tingkah laku seseorang dan mempengaruhi sikap seseorang. Cara fikir sebenarnya sesuatu yang dipelajari dan ditiru melalui sumber-sumber seperti:

• Orang sekeliling - Ibu bapa, guru-guru, rakan-rakan, idola
• Pengaruh media - TV, radio, internet
• Bahan bacaan - novel, majalah, akhbar, buku-buku.
• Persekitaran - Agama, bangsa, kebudayaan
• Peristiwa silam - besar atau kecil
• Pengalaman

Sebab itulah ada pepatah yang mengatakan bapa borek anak rintek. Kalau bapa jenis panas baran maka anaknya berkemungkinan juga demikian. Tetapi tidak pula semua anak berkelakuan serupa seperti bapa. Mungkin anak yang lain pula cukup mengkagumi gurunya dan kebetulan pula guru seorang yang penyabar maka sikap sabar ini mempengaruhi anak. Maka sikap panas baran bapa tidak ditiru oleh anak ini kerana dia dapat menilai bahawa sikap itu tidak menguntungkan sesiapa. Sebaliknya, pengaruh guru lebih besar atas diri anak ini dalam dalam pembentukan sikapnya.

Jadi seorang anak membesar dengan meniru tingkah laku orang lain. Sikap-sikap negatifnya mungkin diperolehi daripada gabungan pelbagai sumber. Pemarah macam ayah, boros macam emak, malas macam abang, pakaian macam artis, buang masa macam rakan-rakan dan sebagainya. Begitu juga dengan sikap positifnya juga ditiru dari orang lain. Berani macam ayah, bercakap benar macam emak, suka mencuba macam abang, gigih macam artis pujaan dan hormat ibu bapa macam rakan.
Satu kelemahan otak ialah ia menerima segala maklumat yang dilihat, dirasa dan didengar ini, tanpa sekatan sama ada positif atau negatif. Apabila mesej yang sama diterima berulang-ulangkali maka sedikit sebanyak mula terbentuk kepercayaan dalam diri bahawa tidak salah untuk menerima pakai atau meniru cara orang lain ini. Keadaan ini berlaku diluar kesedaran seseorang. Ia berlaku dalam tempoh masa yang panjang sebelum menjadi lazim dalam pemikiran. Setelah ia menjadi kebiasaan segala tindak balas kita menjadi spontan dan kerap kali tindakan kita diluar kawalan diri.

Bolehkah sikap diubah?
Sikap yang negatif boleh diubah kepada positif hampir serta merta. Misalnya anda membonceng motosikal rakan. Rakan anda membawa motosikal dengan laju dan gopoh-gapah. Anda tumpang seronok. Akibatnya berlaku kemalangan dan rakan anda mati ditempat kejadian. Ketika itu juga anda berkemungkinan besar mula mengubah sikap anda apabila membawa motosikal. Walau pun ia berlaku hanya sekali dalam kehidupan, tetapi pengalaman tersebut cukup menyakitkan dan menyedihkan. Ia mengubah cara fikir anda serta merta. Sikap anda juga berubah serta merta. Satu peristiwa mengubah segalanya.
Sebenarnya untuk berubah anda tidak memerlukan masa yang panjang. Masa yang panjang sebenarnya untuk kita mengumpul maklumat dan membina keyakinan serta kepercayaan sememangnya perubahan diri itu sesuatu yang mesti dilakukan. Setelah anda membuat keputusan tentang perlunya berubah maka perubahan berlaku serta merta. Masa yang panjang ini sebenarnya boleh disingkatkan dengan syarat anda mendapatkan maklumat yang diperlukan untuk menyokong kepercayaan anda untuk berubah itu sekarang. Anda perlu mendapatkan maklumat dari orang yang boleh memberikannya kepada anda. Ramai yang tidak menyedari bahawa sikap ibarat pakaian yang boleh dipilih untuk disarungkan kebadan. Bagaimana mudahnya menukar pakaian begitu juga mudahnya mengubah sikap. Dengan syarat tahu rahsia dan kaedahnya.

Untuk berubah sikap, setiap kepercayaan dan pegangan hidup yang negatif perlu digugat, dicabar, dibenci dan kemudiannya digantikan dengan alternatif yang baru. Proses ini lebih mudah dilakukan sekiranya dibantu oleh seseorang yang pakar dalam bidangnya. Perhatikan sejenak, adakah sikap anda selama ini membolehkan anda menggunakan sepenuhnya potensi diri yang ada pada diri anda? Setiap kali guru memberikan markah ujian, cuba tanyakan diri anda, adakah ini yang terbaik boleh dilakukan oleh anda? Kalau tidak, apa yang menghalang anda melakukan yang terbaik? Tiada yang menghalang kecuali diri anda sendiri. Kalau anda tidak mengubah sikap dan cara fikir anda sekarang, anda juga pastinya mencapai sesuatu yang serupa 5 - 10 tahun yang akan datang. Yang berubah ketika itu mungkin lokasi anda, rakan-rakan anda dan fizikal luaran anda tetapi dalamnya tetap sama. Kalau sekarang anda gagal di sekolah maka 5-10 tahun akan datang anda bakal gagal pula di alam pekerjaan. Sebab itulah anda perlu berubah, dan perubahan itu perlu dilakukan sekarang! Ingat, Allah s.w.t telah berfirman yang mafhumnya, "tidak akan aku ubah nasib sesuatu kaum itu sehinggalah mereka ubah apa yang ada dalam diri mereka sendiri"


Petua 1 : Jangkakan Kejayaan

Hukum minda mengatakan apa yang dijangkakan berkemungkinan besar akan berlaku. Oleh itu, daripada membuang masa menjangkakan kegagalan kenapa tidak jangkakan kejayaan. Sekiranya anda jangkakan kejayaan, fokus anda pastinya hanya kepada cara untuk berjaya. Anda gambarkan hanya nikmat dan erti sebuah kejayaan, maka secara tidak langsung anda akan menggarap sikap positif. Malangnya dalam kehidupan ini kita sering takutkan kegagalan. Cara fikir kita menjurus ke arah itu. Oleh itu yang tergambar dipemikiran kita hanyalah halangan dan rintangan serta kepayahan. Dalam memburu kejayaan anda tidak boleh putus harapan. HARAPAN adalah satu anugerah yang cukup besar Allah berikan kepada manusia.

Manusia biasanya membangun ketahap yang mereka jangkakan atau yang orang lain jangkakan terhadap mereka. Oleh itu jangkakan kejayaan dalam setiap usaha yang anda lakukan. Kalau anda perlu ubah perancangan untuk mencapai sasaran, maka ubahlah. Pastikan juga anda bertindakbalas secara positif terhadap perkara-perkara yang mungkin membantutkan kejayaan tersebut. Lihat diri anda sebagai seseorang yang pasti merealisasikan harapan yang digenggam.

Apabila kita rasakan yang kita tidak punya masa depan, tiada harapan untuk maju, tiada peluang untuk meningkatkan keupayaan maka ia akan menjurus kita kepada satu sikap negatif iaitu sikap malas.

Petua 2 : Lakunkan Watak Orang Cemerlang

Tidak dapat dinafikan setiap manusia mempunyai kelemahan dan kekuatannya tersendiri. Sebab itulah untuk berjaya kita mesti mempunyai model ikutan (role model) yang boleh ditauladani.

Cuba lihat senario berikut, katakanlah anda sebagai seorang pelajar, telah dipilih untuk berlakun dalam sebuah filem tempatan. Kisahnya berkisar kehidupan pelajar-pelajar sekolah dan anda telah dipilih sebagai pelakun utama. Bayarannya cukup lumayan iaitu RM10,000 dan nama anda juga akan dikenali ramai setelah filem ini ditayangkan. Anda dikehendaki melakunkan watak pelajar cemerlang. Syarat untuk anda kekal sebagai pelakun cuma dua iaitu, yang pertama anda mestilah menjaga disiplin dan masa anda. Maknanya, apabila pergambaran bermula jam 5 petang maka anda mesti berada dilokasi sebelum masa tersebut. Yang keduanya pula, anda mesti menghayati watak pelajar cemerlang sepenuhnya. Sekiranya pengarah tidak berpuas hati dengan anda, dia akan gugurkan nama anda dari senarai pelakun pada bila-bila masa. Pengarah tidak risau sebab anda pelakun baru, satu ditolak berpuluh akan memohon untuk berlakun.

Kalau anda berada dalam situasi di atas, apa tindakan anda? Saya yakin anda akan mula meneliti dan memahami plot filem tersebut bersungguh-sungguh. Anda mula menghafal skrip yang diberikan ayat demi ayat biarpun ketebalannya mencecah ratusan muka surat. Anda akan mula menjiwai dan menghayati watak pelajar cemerlang yang diberikan kepada anda. Anda akan tiru gaya, percakapan dan cara hidup mereka. Pendek kata anda mahu penonton lihat betapa realistiknya lakunan anda. Anda mahu dikenali selepas usaha anda ini. Anda mahukan ganjaran wang RM10,000 yang dijanjikan kepada anda.

Tidakkah anda terfikir betapa beruntungnya kalau anda lakunkan perkara yang serupa setiap hari dalam hidup anda. Kenapa mesti anda bersungguh-sungguh dalam lakunan filem? Tidakkah anda sedar bahawa kita semuanya pelakun di pentas dunia atau di pentas kehidupan. Kenapa tidak lakunkan watak orang cemerlang itu hari ini. Anggapkan seolah-olah anda berhadapan dengan kamera. Kalau anda seorang pelajar, maka bertindaklah seperti pelajar cemerlang di sekolah anda sekarang! Sekiranya anda seorang pekerja, bertindaklah seolah-olah anda pekerja cemerlang sekarang! Mula mengurus masa secara berkesan, menglibatkan diri secara aktif, berperibadi mulia seolah-olah anda sememangnya cemerlang. Lakukannya setiap hari dan hasilnya nanti anda akan perolehi apa yang diperolehi oleh pelajar cemerlang lainnya. Lebih malang lagi kalau anda tidak mahu menjadi pelakun itu hari ini maka Allah akan pilih orang lain untuk menggantikan tempat anda. Orang lainlah nanti yang akan berjaya. Mereka akan jadi pemimpin, jurutera, ulamak, peguam dan sebagainya. Orang lain yang akan dikenali dan nama mereka disebut-sebut sebagai orang yang membawa perubahan dalam masyarakat. Orang lain yang akan memperolehi pendapatan bukan sekadar RM10,000 tetapi mungkin lebih tiap-tiap bulan.

Anda tidak punya pilihan lain. Untuk berjaya anda mesti mula berlakun hari ini. Hayati watak orang cemerlang. Berfikirlah, bercakaplah dan bertindaklah seperti mereka yang cemerlang. Lama kelamaan tabiat cemerlang akan sebati dengan kehidupan harian anda. Ia akan menjadi sikap baru anda. Anda akan dapati mereka disekeliling anda menyedari yang anda kini bersikap positif. Setiap kebaikan yang bakal anda perolehi hasil lakunan positif anda ini membuatkan anda tidak mahu lagi kembali kepada sikap negatif anda sebelum ini. Anda mula memikirkan untuk hidup dalam kelompok dan persekitaran baru. Apa anda tunggu lagi? Lakunkanlah watak orang cemerlang itu sekarang dengan memerhatikan model ikutan anda.

Petua 3 : Ubah Penampilan Diri

Sikap positif terserlah melalui penampilan diri yang positif. Kita mudah mengenali mereka yang bersikap positif melalui percakapannya, pakaiannya, rambutnya, kasutnya, gayanya dan sebagainya. tetapi kita lupa, sebenarnya kita mampu melakukan sebaliknya iaitu membina sikap positif melalui penampilan yang positif. Ambil contoh yang paling mudah, anda telah dijemput ke satu majlis pelancaran oleh seorang rakan. Anda mengenakan baju biasa sahaja dengan berbaju kemeja lengan pendek dan berseluar kasual. Sampai sahaja di sana, anda lihat hampir kesemua mereka yang hadir lengkap berbaju batik atau berkot dan bertali leher. Apa perasaan anda? Saya yakin walau bagaimana positif pun sikap anda, anda pasti rasa bersalah dan rendah diri. Berbeza pula bentuk perasaan anda sekiranya anda hadir dengan pakaian yang rapi, segak, kemas dan bergaya. Anda pasti rasa penuh yakin dan positif. Begitulah besarnya pengaruh penampilan diri dalam membentuk sikap positif dan emosi anda. Cuba fikirkan sejenak bagaimana perasaan anda apabila anda mengenakan baju baru ke pejabat. Anda rasa lebih bersemangat dan yakin.
Kemas, bersih dan rapi tidak semestinya berjenama. Tidak salah mempunyai pakaian dan aksesori yang berjenama sekiranya anda mampu tetapi ia bukannya suatu kemestian. Jangan pula seperti kata pepatah 'biar papa asal bergaya'. Anda perlu ingat bahawa pelaburan yang telah anda buat dalam membentuk penampilan diri atau imej yang positif mestilah membawa pulangan yang setimpal atau berbaloi. Kalau anda melaburkan wang ringgit untuk membentuk imej diri semata-mata untuk bergaya dan menunjuk-nunjuk, maka pelaburan itu merugikan anda. Pelaburan yang dibuat mestilah mampu menjadikan anda lebih positif dan produktif. Sebab itu ramai jurujual profesional mempunyai penampilan diri yang positif. Mereka dilatih untuk berkeadaan sedemikian. Mereka meraih keuntungan dan pendapatan dengan mempunyai penampilan positif. Mereka mempengaruhi pelanggan dengan penampilan diri begitu.

Beberapa perkara yang mesti diperhatikan dalam membentuk penampilan diri:

1. Potongan rambut - Potongan yang sesuai dengan peranan, kemas dan menarik.
2. Pilihan warna dan corak - Pilihan warna yang kena pada tempat dan masa serta 'matching'.
3. Jenis pakaian - Sama ada batik, kasual, sukan, kot dan sebagainya.
4. Kemas dan rapi - Sentiasa digosok rapi.
5. Kasut - Kasut yang sesuai dengan tujuan kehadiran kita di satu-satu tempat.
6. Aksesori - Jam tangan, beg, gelang dan rantai (bagi wanita), haruman dan lain-lain.
7. Jenama - Bukan perkara utama tetapi digalakkan bagi yang mampu.
8. Kesihatan diri - Keceriaan wajah, kelihatan sihat, kuku, kulit dan sebagainya.
9. Gaya - Cara berjalan, bercakap, ketawa dan mimik muka.
10. Senyum - Rahsia utama penampilan diri ialah senyuman yang terukir.

Tuntutan penampilan diri ini berbeza-beza mengikut kedudukan anda dalam masyarakat dan karier yang anda ceburi.
Walau siapa anda, sama ada sedar atau tidak anda tetap dinilai oleh manusia lain melalui penampilan diri. Sebab itu permohonan untuk ke satu-satu pekerjaan perlu melalui proses temuduga. Mereka mahu melihat calon-calon secara terus bukan sekadar untuk menguji kebijaksanaan seseorang pemohon tetapi juga untuk melihat penampilan diri yang melambangkan sikap dan peribadi seseorang. Penampilan diri positif perlu dipatuhi oleh semua golongan masyarakat termasuk pelajar, ibu bapa, pekerja, eksekutif, pemimpin dan sebagainya.

Petua 4 : Berkawan Dengan Orang Berjaya

Rasulullah s.a.w sendiri pernah bersabda, "kalau mahu kenal seseorang itu maka kenallah kawan-kawannya". Oleh itu sekiranya anda memilih kawan yang positif, bergaul dengan mereka yang berjaya, banyak berbincang tentang apa yang mahu dicapai dimasa hadapan; pastinya ia akan mempengaruhi pemikiran dan tindakan harian anda. Pastinya anda turut terdorong untuk mencapai kejayaan dalam hidup anda pula. Mereka yang gagal hanya akan mampu menceritakan kisah-kisah kegagalan mereka sedang mereka yang berjaya pula akan menceritakan kisah-kisah kejayaan mereka.
Untuk berjaya anda perlu berkawan dengan mereka yang telah berjaya. Belajar dari pengalaman dan pengetahuan mereka. Belajar tentang cara mereka membentuk personaliti dikalangan masyarakat. Orang yang berjaya selalunya mempunyai personaliti dan karisma yang mengkagumkan. Personaliti dan karisma ini bukannya semula jadi sebaliknya mereka berusaha membinanya. Kalau mereka boleh, anda juga boleh melakukannya.

Petua 5 : Dalami Ilmu Kecemerlangan

Semangat ada ketikanya naik dan ada ketikanya luntur. Ada ketikanya kita terlupa tentang matlamat yang dikejar disebabkan oleh pelbagai urusan dan aktiviti lain. Ada ketikanya juga diri terasa malas dan bosan. Semuanya ini adalah lumrah hidup seorang manusia. Untuk mengekalkan semangat dan membina sikap positif maka anda perlulah sentiasa mendalami ilmu kecemerlangan diri. Anda boleh mendalaminya dengan banyak membaca buku-buku motivasi, berbincang dengan rakan-rakan tentang perancangan anda, menghadiri program dan ceramah motivasi. Anda juga perlu mendengar kaset-kaset motivasi dan mendapatkan bahan-bahan daripada internet. Semakin bertambahnya ilmu kecemerlangan diri didada maka semakin positif dan matang fikiran anda.

Petua 6 : Fokus Kepada Apa Yang Anda Mahukan

Anda sering mendengar bahawa sikap positif lahir dari pemikiran yang positif. Namun begitu fahamkah anda apa yang dikatakan fikir positif itu? Dalam hidup kita, kita hanya akan bertindak dan berusaha mengejar apa yang ada dalam fikiran kita. Iaitu apa yang terlintas, ternampak dan tergambar di fikiran.

Sebagai contoh mari kita lakukan aktiviti yang cukup mudah. Keluarkan sehelai kertas sekarang dan lakarkan suasana di sebuah pantai yang indah permai. Ambillah masa lebih kurang 5 minit untuk anda menyiapkan lukisan ini. Jangan pedulikan sama ada lakaran itu cantik atau tidak, lakarkan sahaja apa yang tergambar di fikiran anda tentang suasana di pantai.

Baik sekarang saya tanya anda, ada atau tidak lakaran kapalterbang di dalam lukisan itu? Ada atau tidak jeti dari tepi pantai sampai ke tengah laut? Ada atau tidak budak menjual air? Kalau tiada maka kenapa begitu? Jawapannya sebab anda tidak terfikir tentangnya. Atau lebih tepat lagi anda tidak langsung tergambar tentangnya. Oleh itu bolehlah dibuat kesimpulan bahawa kalau kita tidak tergambar akan sesuatu maka kita tidak mungkin dapat menghasilkannya.

Begitulah dari aspek kecemerlangan diri, untuk anda menjadi orang berjaya anda mesti gambarkan diri anda seorang yang berjaya. Anda mesti mampu melihat apa yang mahu dilakukan mulai hari ini untuk menjadi orang berjaya.

Fikirkan pula, positifkah anda apabila anda berkata:

- Mulai hari ini aku tidak malas lagi.
- Mulai hari ini aku tidak mahu tinggal solat lagi.
- Aku tidak mahu main-main dalam kelas lagi.
- Aku tidak mahu lawan cakap ibu bapa lagi.

Positifkah anda? Jawapannya ialah tidak! Hasrat anda memang baik tetapi fikiran anda negatif sebab anda fokus kepada apa yang anda tidak mahu. Anda tergambar bagaimana anda main-main dalam pekerjaan. Anda terbayang bagaimana anda melawan cakap ibu bapa, ketua dan sebagainya. Kalaulah ini yang tergambar maka inilah juga yang akan terhasil! Anda menghasilkan sesuatu yang negatif sedangkan hasrat anda baik.

Oleh sebab itu anda perlu ubah gambaran minda anda kepada gambaran yang positif dengan mengubah ucapan anda seperti berikut:

- Mulai hari ini aku seorang yang rajin.
- Mulai hari ini aku solat lima waktu.
- Aku akan tumpu pada guru dalam kelas.
- Aku ikut cakap ibu bapa.

Lihat, kata-kata di atas membawa maksud yang sama tetapi dari sudut yang positif. Maka yang tergambar juga adalah gambaran yang positif. Kalau yang positif anda nampak maka positiflah juga tindakannya nanti. Memanglah anda mungkin tidak berubah dengan hanya sekali, dua kali atau sepuluh kali berkata-kata secara positif. Tetapi kalau setiap hari dan beratus-ratus kali anda amalkan dalam hidup anda maka satu hari nanti tanpa anda sedari anda menjadi orang yang positif. Oleh itu ingatlah… fokus kepada apa yang anda mahukan!

Petua 7 : Kejayaan Silam Membarai Diri

Dalam hidup kita ini pasti ada sekali dua kita mencipta kejayaan sama ada kecil atau besar. Waktu kecil dulu mungkin kita pernah tewaskan rakan-rakan dalam suatu permainan dan kita berbangga dengannya. Mungkin juga kita pernah dulunya dipuji atas pencapaiaan, kualiti kerja atau kerajinan kita. Mungkin kita pernah menerima anugerah sebagai pemenang dalam apa jua pertandingan. Mulai hari ini cuba ingatkan kembali sebanyak mungkin kenangan manis ini dan senaraikan dalam diari anda. Setiap kali anda rasa tertekan, negatif, malas, bosan dan sebagainya maka bacalah diari anda ini dan hayati semula saat-saat tersebut. Gambarkan dengan jelas apa yang berlaku ketika itu. Rasakan apa yang anda rasakan ketika itu. Semangat anda akan membara sekiranya anda lakukannya bersungguh-sungguh. Semangat untuk kekal cemerlang ini akan menjana sikap yang positif.

Tidak kira betapa gagalnya anda rasa hidup ini namun pasti pernah sekurang-kuangnya sekali anda pernah dipuji atas kebaikan dan kejayaan silam.

Lakukan perkara berikut, sediakan satu buku kecil dan senaraikan semua kejayaan anda sejak dari dahulu hingga ke hari ini, sama ada kecil atau besar. Kemudian baca dan hayati apa yang anda tulis itu satu persatu, gambarkan keadaan ketika itu, rasakan perasaan anda ketika itu dan dengar apa yang anda dengar ketika itu. Lakukannya dengan penuh kesungguhan dan rasakan satu getaran perasaan yang positif yang mengalir dalam setiap urat nadi anda. Sentiasa kemas kini buku kecil anda ini dengan kejayaan-kejayaan baru. Ia adalah sumber tenaga dan kekuatan anda.

Anda mungkin tidak mengingati kesemuanya, tidak mengapa, ambil masa anda. Anda boleh tambah senarai kejayaan anda pada bila-bila masa sahaja.

Satu tabiat yang baik, mulai hari ini rakamkan setiap peristiwa penting dalam hidup anda sama ada melalui gambar atau rakaman video.

Setiap kali anda rasa tertekan, anda rasa tidak dihargai, anda rasa putus asa – lihat kembali buku kecil dan rakaman anda ini.


Petua 8 : Saranan Diri Positif

Untuk kekal dalam sikap positif anda perlu saran diri anda dengan katajaya yang merangsang jiwa dan fikiran. Anda juga boleh gunakan petikan mutiara kata daripada ahli ilmu, petikan al-quran serta hadith. Dengan melazimkan hidup anda berpandukan katajaya dan petikan-petikan ini maka ia memberi anda kekuatan untuk menyahut cabaran dan mengatasi segala masalah.

Anda juga boleh cipta sendiri katajaya itu, misalnya:

“Kalau orang lain boleh.. Aku juga BOLEH!”
“Setiap kata-kata pasti akan dikota!”
“I’m the best!”
“I can do it!”

Jadikan kata-kata ini sebagai sebahagian dari hidup anda. Saran diri anda setiap hari dengan kata-kata ini hingga ia lazim dalam minda anda.

Petua 9 : Soal Diri Dengan Soalan Positif

Dalam sehari anda menyoal beribu-ribu soalan kepada diri anda, daripada soalan yang mudah-mudah hinggalah kepada soalan-soalan yang membentuk masa depan anda. Anda mungkin bertanya soalan-soalan mudah seperti hari ini nak pakai baju apa? Nak makan di mana? Nak keluar denagn siapa? Nak balik pukul berapa? Dan sebagainya. Soalan-soalan ini tidak menjejaskan kehidupan dan peribadi anda. Tetapi ada ketikanya anda menyoal diri dengan soalan-soalan yang boleh memberikan kesan terhadap hidup anda seperti, Nak ambil kursus apa? Nak belajar lama mana? Nak rebut peluang atau tidak? Dan sebagainya.

Orang berjaya menyoal diri dengan soalan-soalan yang boleh memajukan dirinya seperti:

- Apa hikmah disebalik ujian Allah ini?
- Apa lagi yang boleh aku buat untuk jadi lebih baik?
- Apa yang belum aku selesaikan lagi?
- Apakah setakat ini sahaja kemampuan diri yang dianugerahkan oleh Allah kepada aku?
- Apakah aku mahu menyerah hanya dengan kegagalan sementara ini?

Semua soalan ini menjadikan anda lebih positif terhadap apa yang berlaku. Soalan yang diajukan akan membina kekuatan dalaman anda. Semakin berkualiti soalan yang dibentuk semakin berkualitilah diri anda.

Perbezaan antara seorang insan dengan insan yang lain ialah soalan lazim yang secara konsisten terbit difikiran. Manusia lemah sering mengutuk dan memperkecilkan dirinya sendiri. Mereka mungkin berkata:

- Nak buat macam mana aku ni lemah.
- Engkau lain aku lain.
- Engkau bolehlah aku ni siapa.
- Dah memang nasib aku begini, terima ajer lah..
- Buat berkali-kali pun gagal juga baik tak payah..
- Dah tahu diri tu bodoh buat apa tunjuk pandai.

Soalan yang positif akan:

- Megubah persepsi dan cara fikir kita
- Mengubah fokus kita
- Memberikan sumber kekuatan baru kepada kita


Petua 10 : Dapatkan Model Ikutan

Model ikutan adalah seseorang yang anda kagum dengan pencapaiannya dan mahu mengikuti jejak langkahnya. Dapatkan beberapa model ikutan terutamanya mereka yang telah berjaya dalam bidang yang anda mahu ceburi.

Namun begitu sebagai orang Islam, model ikutan kita yang pertama pastilah Nabi Muhammad S.A.W.

Selain daripada Nabi s.a.w yang lain semuanya ada kelemahan. Malahan kita tidak boleh nafikan bahawa ulamak juga ada kelemahan sebab itu pendapat ulamak secara ijmak lebih diterima pakai dalam Islam berbanding pendapat hanya seorang ulamak sahaja.

Setelah anda kenal pasti model ikutan anda, cuba dapatkan gambar mereka. Baca juga kisah hidup mereka. Pelajari bagaimana mereka merancang dan bertindak. Cari potongan kata-kata ucapan mereka yang boleh dijadikan panduan hidup. Selami falsafah hidup mereka dan lihat bagaimana mereka mengatasi setiap masalah yang datang dalam hidupnya. Sebab semakin besar kejayaan seseorang itu maka semakin besarlah cabaran serta masalah yang telah mereka hadapi. Kejayaan dan pengorbanan adalah dua perkara yang sering berada ditempat yang sama. Kejayaan bukanlah apa yang kita miliki tetapi apa yang kita pelajari. Siapa kita dipenghujung kehidupan ini jauh lebih penting berbanding apa yang kita perolehi ketika itu.

SEKIAN

No comments:

Search This Blog

World time