Total Pageviews

Tuesday, July 7, 2009

Jadilah yang KUAT!

Dari Abu Hurairah r.a katanya:

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang mu’min yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada orang mu’min yang lemah. Namun keduanya itupun sama memperoleh kebaikan. Berlumbalah untuk memperoleh apa saja yang memberikan kemanfaatan pada mu dan mohonlah pertolongan kepada Allah dan janganlah merasa lemah. Jikalau engkau terkena oleh sesuatu musibah maka janganlah engkau berkata: “Andaikata saya mengerjakan begini, tentu akan menjadi begini dan begitu.” Tetapi berkatalah: “Ini adalah takdir Allah dan apa sahaja yang dikehendaki olehNya tentu Dia melaksanakannya,” sebab sesungguhnya ucapan “andaikata” itu membuka pintu godaan syaitan.” (Riwayat Muslim)

Hadis di atas membuktikan Allah mahukan umat Islam menjadi mukmin yang kuat iaitu kuat dari segi kesihatan fizikal, pemikiran, keimanan, ketakwaan, ekonomi, ilmu pengetahuan, jemaah dan segalanya. Untuk cemerlang kita mestilah bekerja kuat dan bertindak bijak. Iaitu ‘Work Hard and Work Smart’. Bekerja kuat memastikan kejayaan milik kita, cuma masa sahaja yang akan menentukan kejayaan tersebut. Bertindak bijak pula mempercepatkan lagi kejayaan itu disamping menjadikan kita orang yang berkesan. Apabila kita bertindak bijak, kos menuju kecemerlangan dapat dikurangkan, masa dapat dijimatkan, tenaga dan sumber dapat disalurkan secara efektif.

Memahami Konsep 3S

Untuk cemerlang kita mesti memahami konsep 3S iaitu Sasaran, Strategi dan Sikap. Dalam siri yang lalu, saya telah bincangkan betapa pentingnya kita mempunyai matlamat atau sasaran dalam menuju kecemerlangan.

Sasaran adalah hasil yang mahu dicapai dalam satu tempoh masa, yang disertakan dengan perancangan yang rapi, yang menghantui fikiran hingga timbul kesanggupan untuk melakukan apa sahaja.

Sasaran yang diletakkan itu membolehkan kita mengukur prestasi kita dan mengukur kejayaan kita. Sasaran juga memudahkan kita mengatur perancangan yang perlu digerakkan. Hadis di atas menyarankan kita sebagai umat Islam berlumba-lumba dalam mencari apa sahaja yang membawa kemanfaatan. Oleh itu kenapa tidak kita letakkan sasaran yang besar-besar? Kenapa mesti berpuashati dengan sasaran-sasaran kecil. Letakkanlah sasaran yang besar seperti mahu jadi jutawan, pemimpin ulung, legenda, ternama, dan sebagainya. Dalam berusaha itu juga kita mesti sentiasa memohon pertolongan Allah. Sekiranya usaha yang kita lakukan itu bertunjangkan keimanan dan ketaqwaan demi mencari keredhaan Allah maka pasti pertolongan Allah akan tiba. Yang penting jangan sesekali kita merasa putus asa dalam mengharap rahmat Allah. Allah maha mengetahui apa yang baik untuk kita seperti mafhum firmannya dalam surah al-Baqarah 2: 216 iaitu:

“… dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang ia lebih baik bagimu; dan boleh jadi kamu kasihi sesuatu, sedang ia melarat kepadamu. Dan Allah mengetahui, tetapi kamu tiada mengetahui”.

Oleh itu hendaklah kita berlapang dada untuk menerima apa sahaja yang didatangkan kepada kita kerana Allah maha mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

‘S’ kedua yang mendorong kepada kecemerlangan diri ialah Strategi. Untuk cemerlang kita perlu ada strategi yang berkesan. Malah mana-mana organisasi cemerlang di dunia pasti mempunyai Perancangan Strategik (Strategic Planning) yang menjadi rangka kepada perjalanan organisasi tersebut. Secara mudah Perancangan Strategik bermakna menentukan apa yang mahu diperolehi dan bagaimana cara paling berkesan untuk merealisasikannya. Begitu juga dengan individu, apabila kita mengetahui apa sasaran hidup kita maka langkah seterusnya ialah menentukan pula bagaimana cara paling berkesan untuk mendapatkannya.

Langkah-langkah membina Strategi Berkesan:


1. Tentukan sasaran anda.
2. Tentukan tempoh masa yang diberikan untuk mencapai sasaran ini.
3. Buat analisa tentang kekuatan dan kelemahan diri.
4. Kenalpasti ilmu, kemahiran, individu tertentu, sumber-sumber dan sebagainya yang diperlukan.
5. Susun pelan tindakan.
6. Sentiasa memantau, menyemak, menilai dan mengemaskini pelan tindakan anda.

Perkara penting yang perlu diingat:

1. Sentiasa fleksibel dalam pendekatan yang digunakan. Ada ketikanya kita perlu mencuba beberapa pendekatan dalam mencari pendekatan paling berkesan.
2. Jangan tunggu segalanya sempurna baru mahu bermula. Tidak ada satu pun yang sempurna selagi ia ciptaan makhluk. Menantikan sesuatu perancangan yang betul-betul sempurna baru mahu bermula bermakna kita melambatkan diri kita untuk cemerlang.
3. Mulakan langkah pertama sekarang. Tetapi harus diingat, untuk memulakan kita bukan sahaja bersemangat ketika bermula tetapi kita juga mesti kekalkan momentum yang sama hingga ke penghujungnya.
4. Belajar dari setiap kesilapan dan kegagalan.

Hadis di atas juga melarang kita menggunakan perkataan ‘andaikata’ iaitu menyesali apa yang telah dilakukan apabila hasilnya tidak seperti yang kita sasarkan. Dengan berkata begitu ia membuka pintu kepada godaan syaitan dan ia juga menggugat keimanan kita terhadap qada dan qadar Allah. Sebagai seorang Islam kita tidak sepatutnya risau dengan urusan Allah. Kita mesti faham bahawa membuat perancangan, mengatur pelan tindakan dan seterusnya berusaha bersungguh-sungguh itu urusan kita sebagai hamba. Tetapi yang menentukan hasilnya itu kelak adalah urusan Allah. Oleh itu, kita hendaklah bersyukur dengan apa sahaja hasil yang datang.

Sekiranya hasilnya itu tidak memuaskan maka kita perlu belajar dari kesilapan dan kegagalan ini. Setiap apa yang berlaku itu tersirat hikmahnya yang tersendiri.

Hikmah dari kesilapan dan kegagalan ialah:

1. Kesilapan dan kegagalan membuka peluang mencari penyelesaian baru. Ada ketikanya penyelesaian baru ini jauh lebih baik dan lebih berkesan dari pendekatan yang sebelumnya.
2. Kesilapan dan kegagalan memberikan kita pengalaman. Ramai orang takut mencuba kerana takut gagal. Kalau begitu bagaimana kita boleh memperolehi pengalaman. Apabila kita banyak kali mencuba dan banyak kali gagal maka kita menjadi orang yang lebih berpengalaman dan mampu membuat keputusan yang lebih bijaksana.
3. Kegagalan membina peribadi. Apabila kita gagal, kita boleh serahkan segala-galanya pada nasib, mengalah dan putus asa ATAU kita boleh memilih untuk berundur seketika, melakukan 'post-mortem' dan melangkah semula dengan lebih bergaya. Ingat! Berundur bukan bererti kalah, mengalah bukan bererti lemah. Oleh itu adakah kita mahu membina peribadi sebagai seorang yang gagal atau sebagai seorang juara? Pilihan ada ditangan kita sendiri.
4. Kesilapan dan kegagalan menyedarkan kita tentang kekurangan dan kelemahan. Dengan pengalaman ini kita boleh memperbaikinya dan menjadi semakin jauh lebih baik selepas itu. Ia juga mengelakkan diri kita dari bersikap ego, sombong dan takbur.

‘S’ terakhir yang sama pentingnya dalam menentukan kecemerlangan adalah sikap. Kajian menunjukkan 85% mereka yang berjaya dalam hidup ini adalah berdasarkan sikap dan hanya 15% sahaja berjaya berdasarkan kebijaksanaan. Kerana sikaplah maka Thomas Alva Edison yang dikatakan bodoh disekolahnya akhirnya berjaya cipta lampu. Kerana sikap juga Kolonel Sanders yang telah bersara pada usia 60 tahun berjaya memperkenalkan resepi ayam goreng KFC nya keseluruh dunia. Bagaimana pula kita sebagai orang Islam?

Sasaran yang besar serta Strategi yang mantap tidak mungkin dapat dicapai kalau sikap kita bagaikan melepaskan batuk ditangga, sambil lewa dan main-main dalam melakukannya. Sebaliknya, gabungan 3S ini akan menjadikan umat Islam cemerlang dalam apa jua yang mahu dilaksanakannya. Dalam ruangan yang akan datang saya akan mengupas lebih lanjut tentang sikap dan kesannya dalam menentukan kecemerlangan seseorang insan. InsyaAllah.


Hari ini umat Islam dianggap lemah diseluruh pelusuk dunia. Orang Islam dituduh lebih sukakan keganasan berbanding keamanan dan keharmonian. Di Malaysia sendiri, kaum Bumiputera, yang majoritinya beragama Islam masih terlalu jauh pencapaian mereka terutamanya dari segi pendidikan, sosial dan pegangan ekonomi.

Sekiranya orang Islam berpegang kepada apa yang disarankan oleh Islam itu sendiri maka tidak seorang pun daripada mereka yang gagal dalam hidupnya. Saya amat tertarik apabila membaca buku “Think and Grow Rich” tulisan Napoleon Hill yang telah dihasilkan pada tahun 1937. Dalam buku tersebut penulis secara spesifik telah mengambil contoh kegigihan atau 'persistence' yang ada dalam diri Rasulullah s.a.w sebagai antara penyebab kenapa Islam berkembang dan berjaya seperti hari ini. Buku ini telah dibaca dan menjadi rujukan utama hampir semua pakar motivasi ternama barat seperti Zig Ziglar, Jim Rohn, Bob Proctor, Anthony Robbins, dan lainnya. Malah penulis buku-buku motivasi di Malaysia seperti Billi Lim yang menghasilkan buku bertajuk Berani Gagal mengakui buku tersebut antara faktor yang mengubah persepsi, fikiran dan keyakinan diri beliau. Kalau mereka yang bukan Islam mengambil Nabi Muhammad s.a.w sebagai contoh maka sewajarnya kita bincangkan bagaimana kita boleh berjaya berdasarkan apa yang telah Islam anjurkan.

Allah s.w.t telah berfirman dalam surah Ar-Ra'd ayat 11 yang maksudnya “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”. Ayat ini telah ditujukan kepada 'Amir bin at-Tufail dan Ar-bad bin Robiah yang telah melakukan pakatan untuk membunuh Baginda s.a.w tetapi akhirnya masing-masing mati akibat penyakit taun dan dipanah petir disiang hari sewaktu panas terik.

Ayat ini membuktikan bahawa sesiapa sahaja hanya boleh mengubah nasibnya dengan mengubah keadaan yang ada dalam diri mereka sendiri. Apakah keadaan yang ada dalam diri kita yang boleh diubah? Apakah warna kulit dan paras rupa? Pastinya tidak... Sebaliknya apa yang perlu diubah ialah sikap dan cara fikir kita. Apabila kita ubah sikap dan cara fikir bermakna kita ubah nasib kita. Sikap yang buruk seperti malas, mungkir janji, ambil mudah, tangguh kerja dan sebagainya apabila diamalkan secara berterusan akan menjadi peribadi dan akhirnya membentuk budaya sesuatu bangsa. Sesuatu bangsa yang agung dan maju mempunyai sikap yang bersungguh-sungguh, gigih, berdisiplin dan komitmen kerja yang tinggi. Mereka juga mempunyai cara fikir yang positif seperti sentiasa optimis, berfikiran terbuka, merebut peluang dan mempunyai prinsip hidup yang juga positif. Sikap yang positif ini hanya boleh terbentuk dengan adanya ilmu pengetahuan. Sebab itulah, satu bangsa yang berilmu dapat dilihat lebih positif sikap dan cara fikirnya jika dibandingkan dengan mereka yang rendah tahap pendidikannya. Malah ilmu kecemerlangan diri juga perlu dicari dan dipelajari dengan melihat dan belajar dari mereka yang telah berjaya sebelum kita. Umat Islam dahulunya adalah umat yang berjaya sehingga lahirnya tokoh-tokoh Islam yang dikagumi barat seperti Ibnu Sina dalam bidang perubatan, Ibn Khaldun dalam bidang sosial, Al-Khawarizmi, dalam bidang matematik, Al-Farabi dalam bidang falsafah, dan ramai lagi. Sikap, cara fikir, ketaqwaan dan komitmen kerja tokoh-tokoh ini perlu diselami dan dipelajari kiranya masyarakat Melayu yang beragama Islam mahu cemerlang dalam cabaran hidup hari ini.

Allah s.w.t telah berfirman yang maksudnya:

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)”.
At-Tiin 95:4

Dengan kejadian yang begitu sempurna dan sebaik ini maka mustahillah untuk orang Islam merasa rendah diri dan gagal dalam hidupnya. Malah orang Islam sepatutnya menjadi khalifah dibumi Allah ini. Menjadi pemimpin dan bukannya dipimpin. Semua masalah ini dapat diatasi dan diselesaikan sekiranya kita memahami hakikat diciptanya manusia seperti mafhum firman Allah:

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu”.
Adz-Dzaariyaat 51:56

Ayat ini jelas menyatakan bahawa semua manusia dicipta dengan satu tujuan iaitu beribadah kepada Allah. Beribadah dengan benar-benar memahami tauhid rububiyyah dan tauhid uluhiyyah. Bukan sahaja mengakui bahawa Allah yang mencipta semua makhluk termasuk kita tetapi juga hanya Dia-lah sahaja yang layak dan berhak disembah. Islam tidak menghadkan konsep ibadah ini kepada hanya ibadah-ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji. Malah apa sahaja yang dilakukan atas niat kerana Allah, mengikut syariat Islam dan memberi manfaat kepada diri sendiri dan ummah maka perlakuan itu juga diterima sebagai ibadah dan layak menerima ganjaran pahala dari Allah s.w.t.

Satu perkara yang mesti difahami dalam menjadikan kehidupan sebagai ibadah ialah melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan sebaik mungkin. Sebagai contoh, apabila kita mendirikan solat maka dirikanlah ia dengan bersungguh-sungguh, bertertib dan sebaik mungkin. Menjaga kesemua tigabelas rukun yang ada dan memperelokkannya dengan perkara-perkara yang sunat. Setelah itu, serahkanlah kepada Allah, InsyaAllah akan diterimaNya. Tetapi kalau solat itu didirikan sambil lewa, main-main dan ala kadar sahaja maka pastilah ia awal-awal lagi akan ditolak.

Hakikat solat ini juga mesti diamalkan dalam segenap ruang kehidupan sekiranya kita mahu kehidupan diterima sebagai satu ibadah. Sebagai contoh, kalau kita seorang pekerja maka bekerjalah dengan bersungguh-sungguh, menepati waktu, berdisiplin, meletakkan komitmen kerja yang tinggi dan mengikut peraturan yang ada. Barulah kita dilihat sebagai pekerja yang layak dinaikkan pangkat. Inilah yang dikatakan pekerja cemerlang. Kerja kita juga diterima Allah sebagai satu ibadah yang bukan sahaja mendapat ganjaran di dunia tetapi juga di akhirat. Begitu juga kalau kita seorang pelajar, belajarlah bersungguh-sungguh dengan memberikan tumpuan dalam kelas, menyiapkan tugasan pada waktunya, dan rajin mengulangkaji pelajaran. Barulah belajar itu diterima sebagai ibadah seterusnya diberkati dan mendapat rahmat dari Ilahi. Keputusan peperiksaan juga akan cemerlang kerana kita bersungguh-sungguh dan melakukannya sebaik mungkin.

Mafhum firman Allah dalam al-Quran:

“Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya”
Al-Najm 53:39

Ayat di atas menjelaskan bahawa setiap orang akan mendapat sekadar apa yang diamal dan diusahakannya. Oleh itu siapakah yang patut dipersalahkan apabila kita lihat masyarakat Melayu yang puratanya Islam gagal mencapai kecemerlangan dalam pendidikan, ekonomi dan sosial? Pastilah yang salah adalah diri kita sendiri sedangkan Islam mahukan umatnya cemerlang.

Tidak ada penyesalan dalam usaha, yang ada hanyalah redha dan syukur. Kita menyesal atas kesalahan yang kita lakukan. Kita kesal atas dosa-dosa kita sama ada kecil atau pun besar. Tetapi kita tidak boleh menyesali atas apa yang kita perolehi. Sebab menyesal apa yang diperolehi setelah berusaha itu membuktikan yang kita tidak memahami apa yang dianjurkan oleh Islam itu sendiri. Penyesalan berlaku kerana kita sendiri tahu yang kita tidak menggunakan seluruh potensi yang ada dalam diri kita. Kita sedar bahawa diri kita boleh melakukan sesuatu dengan lebih baik dan layak menerima yang lebih baik juga. Tetapi kalau kita hayati erti ibadah yang telah dibincangkan awal-awal tadi maka penyesalan tidak akan berlaku kerana kita telah lakukan yang terbaik mengikut kemampuan diri kita. Sebagai seorang Islam kita mesti jelas tentang konsep doa, tawakal, redha dan syukur. Untuk cemerlang, berusahalah sebaik mungkin, jadikannya ibadah dan kemudian barulah bertawakal. Dalam berusaha redhalah atas apa jua cabaran dan ujian. Bersyukurlah atas apa sahaja hasilnya nanti. Iringi usaha dengan memperbanyakkan doa kepada Allah.

Akhir kata, umat Islam perlu mencontohi kegigihan Nabi Muhammad s.a.w dalam berusaha memperjuangkan Islam. Apabila bapa saudara baginda Abu Talib memberitahu akan tentangan hebat yang diterima dari pemimpin Quraish maka Nabi s.a.w tetap bertegas mengatakan seandainya matahari diletakkan di tangan kanannya dan bulan diletakkan di tangan kirinya maka baginda tetap meneruskan perjuangan beliau, sehinggalah ditentukan Allah sama ada baginda berjaya atau mati dalam jalan tersebut. Begitulah teguhnya pendirian Rasulullah s.a.w. yang membawa kepada kecemerlangan dan keagungan Islam. Hanya dengan memahami Islam dalam ertikata yang sebenarnya sahajalah maka umat Islam hari ini akan cemerlang.


Kita bertemu lagi dalam Siri Rahsia Kecemerlangan Diri kali ini. Tanpa disedari, sudah hampir setahun saya menjadi penulis di Majalah Cermin ini. Dalam artikel kali ini saya ingin membincangkan tentang satu sikap yang ada dalam setiap diri kita dan menjadi penyebab kepada kegagalan kita. Iaitu sikap bertangguh. Bertangguh maknanya kita dengan sengaja melambatkan atau tidak menyiapkan satu-satu kerja, aktiviti atau tugasan yang sememangnya penting atas alasan yang tidak penting. Sebaliknya kalau sesuatu kerja itu terpaksa diketepikan seketika kerana ada sesuatu yang lebih penting lagi yang mesti disiapkan, maka itu bukanlah bertangguh. Malangnya, ramai diantara kita atas alasan yang remeh temeh melambat-lambatkan sesuatu pekerjaan.

Mari kita renungkan seketika, kalau anda seorang pekerja di pejabat, apa agaknya kerja semalam yang anda tahu penting tetapi tidak dibuat. Mungkin ada borang yang perlu dilengkapkan dan dihantar; atau panggilan kepada pelanggan yang belum dibuat; atau projek yang belum disiapkan malah mungkin belum dimulakan; atau khidmat selepas jualan yang tidak dibuat meskipun berkali-kali anda ingatkan diri anda ia adalah penting. Bagaimana pula dengan urusan dirumah? Anda mungkin dah lama mahu mengecat rumah tetapi sehingga kini masih belum siap; atau menyapu lantai, menggosok baju, mengelap tingkap, mencuci bilik air. Bagaimana pula dengan urusan peribadi anda? Anda tahu sudah tiba waktunya anda menghubungi ibu bapa di kampung; atau emel sahabat yang tidak berbalas dan SMS yang belum dijawab. Anda tahu berat badan mula bertambah dan sudah sekian lama anda mahu turunkan berat badan dengan menjaga diet dan melakukan senaman harian. Sudahkah ia dilakukan? Rambut yang semakin panjang sudahkah dipotong? Kalau direnungkan dengan ikhlas maka kita akan dapati terlalu banyak yang mahu dilakukan dan terlalu sedikit masa yang ada. Kalau tahu masa semakin sedikit kenapa dihabiskan untuk perkara-perkara yang tidak termasuk dalam senarai penting kita? Iaitu senarai yang kita tahu mesti dilakukan segera. Atau anda sebenarnya tidak pernah buat satu senarai pun selama ini? Segalanya hanya dirancang dalam kepala maka tidak hairanlah kalau anda lupa.

Apabila kita bertangguh, kita akan rasa tertekan kerana masa semakin suntuk dan kerja semakin menimbun. Akibat dari rasa tertekan ini ialah kemurungan serta emosi yang tidak menentu. Kesihatan juga turut terganggu dan semua ini pasti menjejaskan produktiviti. Hasilnya, kita menjadi orang yang gagal dalam kehidupan sama ada dari kerjaya, akademik, kesihatan, ibadah, kewangan dan sebagainya.

Kenapa Wujudnya Sikap Bertangguh?

Antara faktor yang menjadi penyebab tangguh ini ialah:


1.Pengurusan yang lemah, sama ada dari segi pengurusan diri, masa, sumber dan tugas.

2.Takut, sama ada takut kepada kegagalan mahu pun takutkan kejayaan. Ada orang takut berjaya kerana kejayaan bermakna tanggungjawab lebih besar, masa makin sibuk dan tiada masa untuk perkara lain, ramai orang yang akan dengki dan sebagainya. Ada pula yang takutkan kegagalan kerana bimbang dikritik, dimarahi, dipandang rendah, takut kerja tidak cukup bagus dan sebagainya. Walau apa sekalipun alasannya, 90% daripada apa yang disangkakan sebenarnya tidak akan berlaku.

3.Terlalu mahukan kesempurnaan. Ada ketikanya sesuatu perancangan itu tertangguh perlaksanaannya kerana kita mahukannya terlalu sempurna. Begitu banyak masa dan tenaga dibazirkan dengan mengkaji keburukan-keburukan yang mungkin akan terjadi.

4.Masalah fizikal. Masalah kesihatan dan tenaga yang kurang boleh mendorong perasaan malas. Ini membuatkan banyak kerja-kerja gagal disempurnakan kerana diri tidak produktif.

5.Masalah sikap. Sikap adalah penyumbang paling utama kepada masalah tangguh. Apabila kita bersikap sambil lewa, ambil mudah dan tiada komitmen serta disiplin terhadap diri kita dan tugas-tugas yang diserahkan maka segalanya pasti akan tertangguh.

Bagaimana Mengatasinya?

Tangguh bukanlah masalah yang tidak boleh diselesaikan. Ia bukannya perkara biasa dalam kehidupan yang tidak dapat dielak. Sebaliknya ia adalah kebiasaan atau tabiat yang tertanam dalam diri kita kerana kita tidak mendidik diri dengan amalan-amalan kecemerlangan. Berikut dinyatakan beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah umum ini:


1.Agih-agihkan tugas. Pastikan tugasan bersesuaian dengan tenaga dan masa yang diperuntukkan. Salah satu penyebab kepada tangguh ialah rasa kerja yang mahu dibuat itu terlalu sukar atau terlalu banyak. Kalau terlalu banyak, agih-agihkan tugas kepada bahagian yang lebih kecil. Kalau terlalu sukar, dapatkan seseorang yang boleh membantu. Tanya mereka! Jangan jadi orang yang berat mulut. Dalam dunia ni tiada sesiapa pun yang akan membantu kita tanpa diminta.

2.Buat senarai tugas atau ‘TO DO LIST’.

3.Dapatkan satu diari, nak canggih lagi pakai ‘Palmtop’. Malah telefon bimbit pun dah boleh untuk masukkan aktiviti kita. Sebenarnya, jangan bazirkan duit dengan membelanjakan wang membeli diari atau organizer yang mahal-mahal. Ramai orang yang saya perhatikan, ketika semangatnya datang, mereka keluarkan duit untuk tujuan ini tetapi akhirnya sia-sia juga.

4.Cari cara untuk ingatkan kita. Cth. Jam loceng, komputer, digital organizer dll.

5.Sediakan segala keperluan lebih awal. Cth. Nak ambil pemadam, hanya kerana itu kerja tertangguh 30 minit. Nak ke bilik air dan sebagainya. Kita kena ingat, kita dibayar gaji untuk bekerja 8 jam sehari jadi buatlah yang terbaik!

6.Tiada dua orang yang serupa. Lain orang lain masa yang mana dia akan paling produktif. Oleh itu kenali masa produktif kita dan gunakan masa ini untuk siapkan kerja-kerja penting kita.

7.Tukar carafikir atau ‘mindset’ kita.

8.Just do it! Jangan peduli apa orang lain akan kata. Ia adalah soal masa depan kita. Percaya cakap saya, 90% daripada sangkaan-sangkaan dan kebimbangan kita itu sebenarnya tidak akan berlaku!

9.Belajar dari kesilapan. Mula melangkah apabila sudah ada perancangan dan jangan tunggu untuk segala-galanya sempurna sebab ketidaksempurnaan itu sememangnya sifat semulajadi setiap hasil ciptaan manusia.
Contoh:
TV hitam putih wujud sebelum ada TV warna.
Telefon bimbit besar sebelum ada yang kecil molek.
Orang yang mencipta dan menjual barang-barang ini tidak menunggu segalanya sempurna. Mereka mengaut keuntungan awal dan menggunakan keuntungan itu untuk melakukan penyelidikan dan seterusnya menghasilkan barangan yang lebih baik

10.Senaman secara konsisten, 20 minit sehari, 3x seminggu.

11.Jaga diet atau pemakanan. Makan makanan yang kurang lemak dan yang tinggi kandungan fibernya seperti buah-buahan, kekacang dan sayur-sayuran. Makan roti yang ada tertulis perkataan ‘high fibre’.

12.Rehat yang cukup - Lakukan meditasi atau rileks. Itu gunanya kita lepas solat sambung berzikir dan berwirid.

13.Mulakan sedikit, bertatih sebelum berlari. Tidap perlu untuk menghabiskan apa yang mahu dilakukan itu serentak. Manusia mudah rasa jemu dan bosan. Oleh itu, lakukanlah sedikit tetapi konsisten. Pelbagaikan aktiviti dan jangan fokus hanya kepada satu tugas semata-mata.

14.Ganjari diri sendiri setiap kali dapat menyelesaikan sesuatu tugas atau pekerjaan.



Kejayaan bukanlah suatu misteri yang tidak terungkap. Malah sekiranya seseorang itu telah melakukan sesuatu perkara maka orang lain pasti mampu melakukannya juga. Kita mungkin tidak bercita-cita terlalu tinggi seperti Datuk Azhar Mansor yang berlayar di lautan luas seorang diri; atau seperti Datuk Abdul Malek yang berenang merentasi Selat Inggeris; atau seperti Shalin Zulkifli yang menjadi ratu bowling negara; atau seperti Yap Sui Lin yang mendapat 16A dalam SPMnya.

Tetapi janganlah pula sekadar selesa dengan pencapaian yang biasa hingga tiada apa yang boleh dibanggakan oleh kita atau yang boleh diceritakan kepada anak cucu kita nanti. Sekurang-kurangnya, kalau kita sebagai pekerja maka berusahalah untuk menjadi pekerja yang cemerlang hingga menerima anugerah dari majikan. Kalau kita seorang usahawan binalah empayar perniagaan kita yang mampu diwarisi oleh anak cucu. Kalau kita sebagai seorang pelajar belajarlah dan berusahalah hingga sampai ke peringkat yang tertinggi.

Kejayaan bolehlah ditakrifkan sebagai pencapaian seseorang menepati matlamat atau sasaran yang telah ditetapkan olehnya. Oleh itu kejayaan adalah suatu bentuk yang subjektif dan relatif dengan individu itu sendiri. Bagi seseorang usahawan, memperolehi pendapatan RM10,000 sebulan itu adalah menepati sasaran awalnya dan baginya ia adalah satu kejayaan. Tetapi RM10,000 ini mungkin suatu kegagalan bagi usahawan yang pada kebiasaannya mampu menjana pendapatan RM50,000 sebulan. Apabila kita tiba ke matlamat yang telah ditetapkan kita mula rasa selesa. Setelah beberapa ketika kita rasa tiada apa lagi yang mencabar di tahap tersebut. Kalau kita terus berada dalam zon selesa itu maka lambat laun kita akan gagal kerana orang lain sudah semakin maju. Oleh itu perlu bagi kita setelah mencapai satu sasaran, kemudiannya mencabar diri untuk maju ketahap yang seterusnya pula. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil untuk cabar diri bagi terus maju dalam kehidupan.


1. Letakkan Sasaran Yang Tinggi

Apabila satu matlamat dicapai maka teruslah menetapkan matlamat baru yang lebih tinggi lagi. Misalnya, dulunya sebagai seorang pelajar kita sering dapat nombor yang tercorot dalam kelas maka letaklah matlamat untuk meletakkan nama kita dalam 10 pelajar terbaik. Cabar diri untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai sasaran itu. Kalau satu hari kita berjaya merealisasikannya, maka mula letakkan sasaran baru untuk jadi pelajar nombor 1 pula. Kalau kita seorang usahawan maka letakkan sasaran untuk mengembangkan perniagaan kita ke seluruh pelusuk negeri bukan sekadar berniaga setempat sahaja. Kalau sasaran itu dicapai, cabar diri dengan sasaran baru untuk mengembangkan perniagaan ke seluruh negara dan tidak mustahil selepas itu sampai ke peringkat antarabangsa pula. Sasaran yang tinggi ini sentiasa membuatkan kita memandang ke depan. Hasilnya, tanpa kita sedari kita semakin hari semakin maju dalam bidang yang kita ceburi tersebut.

2. Cemburu Dengan Kejayaan Orang Lain

Lihat mereka yang lebih berjaya dari kita. Kalau orang lain boleh kita juga boleh. Untuk maju kita mesti cemburu dengan kejayaan orang lain dan cabar diri kita untuk berusaha lebih dari orang lain. Kalau kita tidak tahu bagaimana mahu melakukannya maka belajarlah dari mereka yang telah berjaya. Buka mulut dan bertanya. Jangan sekadar berdiam diri kerana tiada apa yang berlaku kalau kita tidak bertindak. Baca kisah-kisah kejayaan orang lain, hayati bagaimana mereka menghadapi cabaran dan menyusuri liku-liku kepayahan sebelum nama mereka tersohor. Sikap cemburu dengan kejayaan orang lain ini mestilah ditanam untuk membentuk suatu persaingan yang sihat bukannya cemburu yang membawa kepada sifat dengki dan irihati yang membuatkan kita mengambil langkah-langkah buruk menjatuhkan saingan kita.

Perasaan cemburu ini patut terbit lebih-lebih lagi apabila mereka yang lebih lemah, lebih muda, dan kurang upaya dari kita mampu mencapai satu pencapaian yang luar biasa.

Saudara Abdul Halim, seorang yang kudung kaki dan tangannya tetapi boleh belajar masuk universiti, keluar sebagai akauntan, buka syarikat sendiri dan pernah terima anugerah daripada PM Malaysia. Tak cemburukah kita?

3. Elakkan Dari Sikap Cepat Puashati

Sikap cepat berpuashati adalah penyakit yang menghalang diri kita untuk terus berjaya. Apabila kita sudah meraih pendapatan RM10,000 sebulan kita mula rasa selesa dan kita berkata, “Aku ni kira oklah, berapa kerat sangat orang yang meraih pendapatan lima angka sebulan. Sekurang-kurangnya dah ada rumah sendiri berapa ramai lagi orang yang tidak mampu beli rumah. Kira ok lah aku ni… ”. Sikap puashati beginilah yang membuatkan kita berhenti untuk berusaha dan mencipta kejayaan yang lebih besar lagi. Kenapa tidak kita ambil contoh orang yang lebih berjaya dari kita? Kenapa sering membandingkan diri dengan orang yang lemah dan kurang dari kita? Bandinglah dengan mereka yang lebih berjaya, yang memiliki bangunan sendiri, yang menjadi jutawan, yang berkereta mewah, yang memiliki rumah-rumah untuk disewakan dan sebagainya maka barulah tercabar bahawa kita belum lagi OK! Jadi, usah lagi berpuashati dengan pencapaian kita kerana setiap kali kita berjaya maka kita pasti boleh pergi lebih jauh lagi.


4. Soal Diri Dengan Soalan Positif

Untuk berjaya, soal diri dengan soalan-soalan yang positif. Misalnya, soalan-soalan seperti berikut hanya membawa diri kita untuk merasa lemah dan tidak berdaya:

Kenapalah aku gagal?
Mengapa nasib aku sentiasa malang?
Kenapalah orang semua tak suka aku?
Apalah nak jadi dengan aku ni?

Sebaliknya soalan-soalan berikut pula akan membuatkan kita berfikir, mencabar diri dan membolehkan kita mengumpul kekuatan untuk atasi setiap halangan.

Apa yang belum aku lakukan lagi?
Bagaimana aku nak tingkatkan 20% lagi pendapatan aku bulan depan?
Apakah kelebihan diri aku yang belum aku bongkar lagi?
Dimana aku nak dapatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk maju dalam bidang ini?
Siapa yang boleh bantu aku?

Jadi kita tidak berjaya kerana bertanyakan soalan yang salah kepada diri kita. Oleh itu berhati-hatilah dengan suara hati. Nilai betul-betul soalan yang kita tanyakan pada hati kita adakah ia akan mencabar kita untuk terus maju atau hanya melemahkan kita.

5. Tingkatkan ‘Standard’ Anda

Untuk berjaya kita kena cabar diri untuk tingkatkan ‘standard’ kita. Misalnya, kita berkata pada diri kita bahawa tidak ‘standard’lah untuk selama-lamanya jadi kerani, 5 tahun dari sekarang mesti nak jadi pengurus pula. Tidak ‘standard’ lah untuk selama-lamanya bekerja dengan orang, 10 tahun dari sekarang mesti jadi bos pula. Tidak ‘standard’ lah selama-lamanya dapat markah ‘C’, 3 bulan dari sekarang aku mesti dapat ‘A’ pula. Tidak ‘standard’ lah asyik bawa kereta Jepun aje, 5 tahun dari sekarang aku mesti nak bawa kereta Jerman pula. Tidak ‘standard’ lah untuk berumah teres sahaja, 10 tahun dari sekarang aku mesti nak ada rumah banglo pula.

Tujuannya bukan untuk menunjuk-nunjuk atau untuk takbur tetapi untuk membuatkan kita mahu berusaha lebih gigih lagi demi memenuhi tuntutan hidup kita yang mengikut ‘standard’ baru itu. Lagi pula kita tidak melafazkan kata-kata itu kepada orang lain tetapi kita tujukan kata-kata tersebut hanya kepada diri sendiri sebagai satu bentuk cabaran.

Perlu diingatkan bahawa kita hanya boleh hidup dalam ‘standard’ yang lebih tinggi hanya setelah kita berjaya merealisasikan pendapatan yang mampu menampung ‘standard’ tersebut. Jangan pula menjadi orang yang papa asal bergaya.

Malah Islam sendiri tidak menghalang umatnya untuk hidup selesa apabila punya kemampuan. Asal sahaja keselesaan itu tidak menghalang kita untuk terus menjadikan hidup ini sebagai suatu ibadah yang mengningkatkan lagi keimanan dan ketaqwaan kita. Oleh itu, teruslah cabar diri untuk berjaya dalam hidup kita.

No comments:

Search This Blog

World time